Monday, December 29, 2008

Gambar-gambar Terbaru Keganasan Yahudi di Gaza





Isreal Menganas 289 penduduk Palestine Terkoban



ASAP tebal menyelubungi udara Gaza selepas dibedil jet pejuang tentera Israel dalam serangan, semalam.

Hamas serang balas lancar 150 roket, mortar

GAZA: Israel bersiap untuk menghantar tentera darat ke Gaza selepas melancarkan siri serangan jet pejuangnya terhadap sasaran Hamas menyebabkan 280 terbunuh dan 780 lagi cedera dalam tempoh 24 jam, antara korban terbesar rakyat Palestin oleh rejim Zionis, sejak 60 tahun lalu.

Pesawat tempur negara Yahudi itu menyerang 250 sasaran di Gaza dalam serangan besar-besaran terhadap wilayah pentadbiran Hamas itu sejak kelmarin.

Ibu pejabat keselamatan Hamas, sebuah masjid, stesen televisyen, trak bekalan minyak dan gudang farmasi adalah antara yang diserang menyebabkan ketua biro politik Hamas di Damsyik, Khaled Meshaal, menggesa pejuang Palestin melancarkan intifada baru.


Israel yang mendapat sokongan sekutu terdekatnya, Amerika Syarikat, menamakan kempen terbaru ketenteraannya di Gaza sebagai 'Operation Cast Lead', memulakan serangan menerusi 60 jet pejuang ke atas 50 sasaran dalam masa beberapa minit.


Hamas pula bertindak balas dengan melancarkan lebih 150 roket dan mortar ke selatan negara Yahudi itu menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera.

Kempen pengeboman Israel dilancarkan selepas tamatnya gencatan senjata enam bulan antara negara itu dan Hamas, lapan hari lalu. Ia juga berlaku dua bulan sebelum pilihan raya Israel.

Kekejaman rejim Zionis terhadap 1.5 juta penduduk Gaza menyebabkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan menggesa Israel menamatkan tindakan ketenteraannya.


Bakal Presiden Amerika, Barack Obama, yang akan memulakan tugas pada 20 Januari depan, sekadar memberitahu, beliau 'mengikuti rapat' serangan Israel itu, kata jurucakap keselamatannya, Brooke Anderson.

Bagaimanapun, pentadbiran Presiden George W Bush, menyalahkan Hamas atas serangan Israel dengan menyifatkan pejuang pergerakan itu sebagai 'samseng.'


Sementara itu, keadaan dilaporkan lengang di tengah Bandar Raya Gaza ketika ketegangan berlarutan atas kebimbangan penduduk menghadapi serangan udara Israel. Sekolah ditutup selama tiga hari selepas kerajaan Gaza mengisytiharkan tempoh berkabung mangsa serangan Yahudi itu.

Anggota polis Hamas pula memakai jaket supaya pakaian seragam mereka tidak kelihatan bagi mengelak dikesan juruterbang Zionis.

Ini berikutan serangan jet Israel memusnahkan bangunan keselamatan utama Hamas menempatkan blok penjara, menyebabkan empat maut dan 25 lagi cedera.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah melindungi penduduk Palestin daripada Israel yang zalim.


Pages

Powered By Blogger