Saturday, November 14, 2009

Seminar Pengurusan Kewangan & Keusahawan Anjuran Pembina & ISMA


Senario kesempitan wang merupakan suatu keadaan yang dianggap normal di kalangan para belia, lebih-lebih lagi di hujung bulan. Ditambah pula dengan kelembapan ekonomi global masa kini, keadaan kewangan para belia menjadi semakin rapuh. Penganjuran Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan (SPKK) dianggap sebagai menepati masa dan keperluan para belia masa kini di dalam membentuk daya ketahanan diri mereka terhadap kemelut ini.

Antara persoalan-persoalan yang akan dibincangkan di dalam seminar ini ialah sejauh mana para belia merancang perbelanjaan seharian mereka? Bagaimanakah merancang kewangan secara bijak? Slot bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran dan panduan kepada para peserta terhadap pengurusan kewangan.

Disamping itu, pendedahan terhadap bidang keusahawanan juga merupakan salah satu intipati penganjuran SPKK. Bidang keusahawanan atau perniagaan merupakan suatu kerjaya pilihan yang akan diterapkan sepanjang seminar ini, sekaligus membetulkan persepsi masyarakat bahawa keusahawanan atau perniagaan bukan merupakan suatu medium survival. Dengan statistik pengangguran yang terus meningkat dari tahun ke tahun, para peserta perlu diberi kesedaran akan peri pentingnya mewujudkan peluang pekerjaan, dan bukan setakat menagih pekerjaan.

Bagi tujuan tersebut, pelbagai bantuan dan khidmat nasihat telah ditawarkan kepada peniaga bumiputera melalui pelbagai agensi kerajaan seperti PUNB, MARA, INSPEN dan JAKIM . Namun begitu, masalah timbul apabila belia lebih tertarik dengan budaya makan gaji dari menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Di dalam seminar ini, peserta akan diberikan penerangan tentang perkara tersebut dengan lebih terperinci.

Tokoh-tokoh jutawan muslim seperti Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari (Yayasan Albukhari), Hj. Abd. Rahman B. Mat Dali (Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah), Hj. Ahmad Radzi B. Yahaya (Servco Resources Sdn Bhd), dan En. Suhaimi Abas (Otai Franchise Sdn Bhd) akan diketengahkan dalam seminar ini bagi menampakkan kepada belia akan individu-individu yang boleh dijadikan sebagai idola. Ini sebagai bukti bahawa orang Islam itu mampu berjaya di dalam bidang keusahawanan, meskipun di Malaysia bidang ini lebih didominasi oleh golongan bukan Islam. Ini sekaligus dapat memperbetulkan persepi negatif dan ‘double standard’ masyarakat umum terhadap usahawan-usahawan muslim yang menjalankan perniagaan mengikut kehendak syara’.

No comments:

Pages

Powered By Blogger