Tuesday, October 25, 2011

RESOLUSI KELUARGA MELAYU MUSLIM 2011


PUTRAJAYA, 23 Oktober – Konvensyen Keluarga Melayu Muslim (KKMM) 2011 hari ini menyeru supaya semua keluarga Melayu Muslim berusaha untuk membudayakan perencanaan dan menetapkan agenda dalam keluarga demi mengembalikan umat yang bermaruah dan berjati diri tinggi.

Seruan ini merupakan sebahagian daripada resolusi konvensyen tersebut berdasarkan rumusan bahawa institusi keluarga merupakan unit asas terpenting dalam mempertahankan keutuhan sesebuah masyarakat dan bangsa.

Resolusi dibacakan oleh Puan Shazamawati Zam Hashari selaku Pengarah KKMM 2011 di hadapan seluruh peserta yang hadir dalam program anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) itu.

Berdasarkan resolusi tersebut, semua keluarga Melayu Muslim diseru supaya berusaha untuk:

1. Membudayakan perencanaan dalam keluarga.
2. Menetapkan agenda dan halatuju keluarga dalam usaha mengembalikan masyarakat Melayu Muslim yang bermaruah dan berjati diri tinggi.
3. Merancang program tarbiyyah ke arah pembangunan dan pembentukan jatidiri Melayu Muslim untuk seisi keluarga.
4. Merancang pengurusan kewangan dengan berhikmah bersesuaian dengan kemampuan tanpa mengabaikan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak.
5. Bapa sebagai tonggak keluarga harus terlibat sepenuhnya dalam perencanaan dan komited memandu keluarga membentuk nilai dan asas kecemerlangan tamadun Islam yang kita warisi.
6. Memperkukuhkan jaringan dalaman dan luaran antara keluarga dan masyarakat.

Konvensyen ini juga menyarankan supaya penggubal dasar di Malaysia mewujudkan satu dasar yang mewajibkan agensi kerajaan dan swasta mengadakan program pembangunan keluarga untuk semua kakitangan di bawah seliaan mereka.

Resolusi tersebut juga menyeru supaya sistem pendidikan di Malaysia menerapkan pendidikan anak-anak di semua peringkat sekolah rendah dan menengah mahupun pengajian tinggi akan tanggungjawab mereka menjaga dan memelihara keluarganya termasuk ibu bapa apabila mereka dewasa.

Menyentuh peranan media massa, KKMM 2011 mengemukakan gesaan agar pihak media memperbanyakkan paparan-paparan positif kejayaan keluarga Melayu Muslim dalam usaha merangsang perubahan mereka ke arah pembentukan keluarga yang cemerlang dan diredhai Allah.

Konvensyen sehari yang berlangsung di Auditorium D8, Parcel D, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya ini telah dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang peserta.

R

No comments:

Pages

Powered By Blogger