Saturday, April 14, 2007

Akhlak mulia yang mantap dan sebati serta jiwa yang bersemangat waja

Ustaz Hassan al-Banna tegaskan suatu hakikat bahawa sesebuah bangsa yang ingin bangkit mestilah memiliki akhlak yang mulia dan mantap serta jiwa yang bersemangat waja. Ini kerana bangsa ini akan berhadapan dengan tuntutan era baru iaitu era kebangkitan. Kebangkitan ini hanya akan dapat dicapai apabila mereka memiliki akhlak yang mantap dan jujur yang lahir daripada keyakinan yang mendalam, kecekalan yang teguh, pengorbanan yang besar dan keupayaan memikul beban yang berat.

Firman Allah SWT yang bermaksud;
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih ( dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya ( dengan sebab kekotoran maksiat ) ( Surah Al-Shams : 9-10 )

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ( Surah Al-Ra'd: 11 )

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah ( untuk berjuang membela Islam ); maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu ( lalu gugur syahid ) dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah ( apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. Berlakunya yang demikian supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka ( Surah Al-Ahzab ; 23-24 )

No comments:

Pages

Powered By Blogger